2023 Toyota GR Corolla di Malaysia: Bila Corolla Hatchback Pergi ke Gim
Gambar di Atas Daripada Chanokchon - Hasil peribadi, CC BY-SA 4.0, Sumber
Antara model Toyota GR yang ditunggu-tunggu kini berjaya mendarat di Malaysia. Ia sememangnya ibarat sebuah Corolla hatchback yang berjaya membina badan untuk meningkatkan kebolehan diri. Hasilnya, kereta ini lebih prestasi, lebih berotot, lebih agresif, dan lebih mahal. GR Corolla kini bersedia bersaing dengan rakan seperjuangannya, terutama model Volkswagen Golf R.
1. Enjin & Kotak Gear
GR Corolla hanya didatangkan dengan enjin 1.6 liter turbo tiga silinder (1618 cc). Ia menghasilkan 296 kuasa kuda (300 PS) pada 6500 rpm dan 370 Nm tork antara 3000-5550 rpm. Enjin tersebut dipadankan dengan kotak gear idaman lelaki sejati, iaitu manual enam kelajuan 'short-shift'. Fungsi 'intelligent Manual Transmission' (iMT) membantu enjin dan kotak gear mencapai kelajuan yang serasi secara automatik semasa menurunkan dan menaikkan gear.
2. Prestasi
Semestinya bahagian penting untuk kereta ini. Pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.3 saat dengan kelajuan maksimum sepantas 230 km/j.
3. Dalaman
Oleh kerana GR Corolla adalah berdasarkan model Corolla, papan kemukanya sangat mirip. Namun, disebabkan ini ialah model berprestasi tinggi, semestinya terdapat elemen-elemen kesukanan bagi membangkitkan jiwa perlumbaan. Pertama, tempat duduk hadapan tampil lebih agresif dengan campuran kulit dan suede, dan jahitan berwarna merah.
Kelihatan logo GR yang dijahit pada tempat letak kepala. Kedua-duanya adalah berkuasa elektrik, di mana bahagian pemandu mempunyai enam hala boleh laras, manakala penumpang hadapan ada empat. Kedua, jahitan berwarna merah turut dijumpai pada kulit pembalut batang gear, brek parkir, tempat duduk belakang, dan semua panel pintu.
Ketiga, stereng tiga jejari yang dibalut kulit dengan logo GR terdapat pada bahagian bawahnya. Logo GR juga kelihatan pada butang penghidup enjin dan bahagian atas tuil gear. Di samping itu, tiga pedal yang diperbuat daripada aluminium menambah seri kesukanan dalam kabin. Tatkala kebanyakan kereta moden dilengkapi dengan brek parkir elektronik, GR Corolla masih menggunakan brek parkir mekanikal yang amat dialu-alukan.
Di belakang tuil gear mengandungi tombol berputar untuk menukar mod pemanduan pacuan semua roda. Ia terdiri daripada mod 'Front', 'Rear', dan 'Track'. Turut terdapat tiga jenis mod pemanduan, iaitu 'Normal', 'Eco', dan' Sport'. GR Corolla tidak ketinggalan dari segi penggunaan ciri-ciri moden. Panel meter adalah skrin LCD bersaiz 12.3 inci.
Selain paparan kelajuan kereta dan enjin, pemandu boleh melihat paparan animasi ketika menghidupkan enjin dan paparan mod pacuan semua roda. Tekanan turbo dan penanda pertukaran gear turut dipaparkan. Seterusnya, skrin sistem audio bersaiz sembilan inci yang mempunyai 'Apple CarPlay' dan 'Android Auto'. Paparan 'heads-up' terdapat secara standard pada GR Corolla.
Kelengkapan normal seperti kawalan iklim automatik dua zon, enam pembesar suara, dan pengecas tanpa wayar tidak ketinggalan. Model GR Corolla yang terdapat di Malaysia merupakan versi lima tempat duduk sahaja.
4. Keselamatan
Ciri-ciri keselamatan aktif atau 'Toyota Safety Sense' turut standard pada kereta sukan 'hatchback' ini. Antaranya ialah 'Pre-collision System' (PCS). Jika terdapat risiko perlanggaran hadapan, kereta akan memberi amaran kepada pemandu dan boleh membrek sendiri. 'Dynamic Radar Cruise Control' (DRCC) merupakan kawalan pemanduan adaptif yang boleh mengawal kelajuan kereta dan jarak daripada kenderaan di hadapan.
'Lane Departure Alert' (LDA) pula berfungsi memberi amaran jika kereta terkeluar daripada lorong. LDA dibantu oleh 'Lane Tracing Assist' (LTA) untuk mengekalkan kedudukan kereta pada lorong dengan menggerakkan stereng secara automatik. GR Corolla mampu mengawal nyalaan lampu tinggi berdasarkan keberadaan kenderaan di hadapan dengan fungsi 'Automatic High Beam' (AHB).
Seperti model-model Toyota yang lain, GR Corolla mempunyai kamera video digital atau 'dashcam' untuk bahagian hadapan sahaja. Bagi aspek keselamatan pasif, kereta ini dilengkapi kawalan kestabilan kenderaan dan kawalan cengkaman. Selain itu, sistem brek anti kunci bersama bantuan brek dan pengagihan kuasa brek elektronik juga antara ciri keselamatan lain.
Turut dilengkapi kawalan bantuan mendaki bukit dan isyarat berhenti kecemasan. Turut serta tujuh beg udara, iaitu di hadapan, tepi bahagian hadapan, langsir, dan lutut pemandu. Akhir sekali, ISOFIX pada tempat duduk belakang.
5. Luaran
Suar fender yang menonjol, gril hadapan yang besar bersebelahan dengan lubang udara tepi antara ciri sebuah GR Corolla. Terdapat dua lubang di atas bonet untuk mengeluarkan haba ke udara. Lubang udara juga kelihatan pada belakang fender hadapan. Seterusnya, roda aloi berbilang jejari bersaiz 18 inci dibalut oleh tayar Yokohama Advan.
Di dalamnya mengandungi brek berventilasi dengan empat kaliper di hadapan dan dua di belakang. Skirt tepi mempunyai cop 'GR-FOUR'. Pelindung cermin sisi adalah berwarna hitam dan bumbungnya diperbuat daripada gentian karbon. Tidak lengkap untuk sebuah kereta berprestasi tinggi tanpa kehadiran spoiler pada hujung bumbung belakang.
Tiga paip ekzos dengan muncung lebih besar untuk ekzos di bahagian tengah merupakan tarikan unik. Ciri unik yang lain ialah kemasan berwarna hitam kilat hampir memenuhi bampar belakang. Kemasan hitam itu mengandungi lubang angin, 'diffuser', dan peletak nombor pendaftaran. Terdapat empat jenis warna ditawarkan, antaranya ialah 'Precious Metal', 'Super White II', 'Emotional Red II', dan 'Black'. Kesemua sentuhan eksklusif ini memberikan rupa paras keseluruhan seperti sebuah kereta rali.
6. Mekanikal
GR Corolla hanya ditawarkan dengan pacuan semua roda yang dikenali sebagai 'GR-FOUR All Wheel Drive'. Namun, pemandu boleh membuat konfigurasi untuk pengagihan tork ke roda hadapan dan belakang. Ia menerusi tiga mod pacuan roda, iaitu 'Front', 'Track', dan 'Rear' pada tombol berputar di konsol tengah. Nisbah pengagihan tersebut merangkumi 60:40, 50:50, dan 30:70 untuk setiap mod yang dinyatakan.
Gandar hadapan dan belakang didatangkan dengan perbezaan slip terhad ('limited slip differential'). Suspensi hadapan adalah jenis 'MacPherson Strut' dan 'double wishbone' untuk bahagian belakang. Kedua-dua jenis suspensi itu hadir dengan penstabil. Berat keseluruhan kereta ini agak memuaskan, iaitu 1475 kg.
7. Dimensi
• Panjang: 4407 mm.
• Jarak antara roda: 2640 mm.
• Tinggi: 1479 mm.
• Lebar: 1851 mm.
• Kapasiti bahan api: 50 L.
• Radius pusingan minimum: 5.5 m.
8. Harga
GR Corolla di Malaysia dijual pada harga di atas jalan sebanyak RM355,000.00 tanpa insurans. Pelanggan boleh menambah pilihan 'Vehicle Telematics System' (VTS) yang berharga RM2000. Pelanggan boleh mendapatkan maklumat lanjut tentang VTS ini daripada penasihat penjualan di bilik pameran Toyota GR seluruh Malaysia. Jaminan kereta ini adalah selama lima tahun tanpa had perbatuan.
9. Kecekapan
Jika anda mencintai Toyota GR Yaris, namun inginkan lebih praktikaliti dan keseronokan menukar gear sendiri, GR Corolla adalah jawapannya. Barangkali selepas ini semakin sukar menjumpai kereta berprestasi tinggi dengan kotak gear manual dan parkir brek mekanikal.