Fakta

9 Barisan SUV Paling Premium di Malaysia [Bahagian 2]

Gambar di Atas Daripada Jengtingchen - Hasil peribadi, CC BY-SA 4.0, Sumber

Ini merupakan sambungan daripada artikel Bahagian 1 yang telah menceritakan lima buah SUV paling premium yang boleh didapati di Malaysia. Bahagian 2 kali ini menyambung baki empat SUV paling mewah yang dijual di Malaysia.

 
1. Land Rover Range Rover
2022_Land_Rover_Range_Rover_front

By Авто Плюс Новости - https://www.youtube.com/watch?v=T6amSzY-SZM, CC BY 3.0, Source

 

SUV British ini dilancarkan di bumi Malaysia pada Februari 2023 sebagai generasi kelima Range Rover dengan kod nama LP640. Walaupun ia kelihatan seperti Range Rover generasi sebelumnya, namun model ini menggunakan casis yang baharu. Range Rover di Malaysia didatangkan dengan varian P350 yang dikuasakan oleh enjin petrol BMW.

DiscoverCars.com
 

Enjin petrol tersebut bersaiz 4.4 liter turbo V8 menghasilkan 523 kuasa kuda dan 750 Nm tork. Kereta ini boleh memecut dari 0-100 km/j dalam masa 4.6 saat dengan kelajuan maksimum 250 km/j. Kuasa daripada enjin dihantar ke semua empat roda. Casis baharu yang dikenali sebagai 'Flexible Modular Longitudinal Architecture' (MLA-Flex) meningkatkan kesenyapan kabin sebanyak 24%.

 

Suspensi hadapan ialah 'double-wishbone' dan 'five-link' untuk suspensi belakang di mana keempat-empat suspensi menggunakan jenis udara. Kereta ini mempunyai 'rear-wheel steering' buat julung kalinya untuk mengurangkan radius pusingan ketika memandu dalam bandar. Sebagai model daripada jenama yang pakar menghasilkan kenderaan 'off-road', kereta ini semestinya mempunyai ciri-ciri 'off-road' yang mengagumkan.

 

Maksimum 295 mm kelegaan tanah, 29 darjah 'departure angle', dan kedalaman selaman maksimum 900 mm. Selain itu, kereta ini mampu menanggung sehingga 3500 kg beban menunda. 'Rear lock differential' elektronik aktif turut terdapat pada Range Rover ini. Dari segi reka bentuk hadapan, Range Rover baharu tampil lebih kemas berbanding generasi sebelumnya, L405.

 

Kereta ini mempunyai bentuk lampu siang yang sedikit berbeza dan garisan dalaman gril lebih nipis. Di samping itu, pengambilan udara di bawah lebih kemas bersama lampu kabus di dalamnya. Tiada lagi dua gril sisi kecil bersebelahan tempat letak nombor pendaftaran seperti generasi L405. Pada bahagian tepi, pemegang pintu adalah jenis 'flush' dan sentuhan garisan berbentuk 'L' ikonik pada generasi L405 kini berbentuk 'U'.

DiscoverCars.com
 

Rim dengan reka bentuk baharu bersaiz 22 inci dengan tujuh jejari dua tona. Pelanggan boleh memilih rim bersaiz 23 inci. Bahagian yang menerima sentuhan yang lebih drastik adalah di belakang. Lampu belakang kini berbentuk menegak yang menjadi warna hitam ketika ianya tidak menyala. Ini supaya lampu di bahagian atas kelihatan bersambung dengan bar melintang berwarna hitam dengan tulisan 'Range Rover'.

 

Turut unik pada kereta ini ialah dua antena sirip ikan yu di atas bumbung. Rekaan minimalis diteruskan untuk bahagian dalaman dengan lubang pendingin hawa tengah dan bahagian penumpang kelihatan lebih bersatu. Terdapat beberapa kemasan kayu pada konsol tengah, bahagian bawah papan pemuka, dan pintu.

 

Berbanding dua skrin 'infotainment' pada generasi L405, kini hanya satu skrin sesentuh jenama Pivi Pro bersaiz 13.1 inci. Ciri-ciri dalaman yang lain ialah sistem audio Meridian, tiga zon kawalan iklim, paparan 'head-up' dan 30 pilihan warna dalaman. Tempat duduk kulit semi anilin dengan fungsi pemanasan dan ventilasi pada tempat duduk hadapan adalah standard.

 

Untuk paparan pemandu, 13.7 inci paparan 'Interactive Driver' disediakan. Bagi mengawal kadar gegaran dan bunyi tayar dan bunyi enjin masuk ke dalam kabin, terdapat fungsi 'Active Noise Cancellation'. Akhir sekali, terdapat tujuh ciri-ciri keselamatan pada Range Rover. Antaranya ialah 'Autonomous Emergency Braking', 'Lane Keep Assist', 'Adaptive Cruise Control' dengan kawalan steering, dan 'Driver Attention Monitoring'.

DiscoverCars.com
 

Bukan itu sahaja, 'Rear Cross Traffic Alert', 'Assisted Parking', dan 'Traffic Sign Recognition' merupakan ciri-ciri keselamatan aktif SUV ini. Segala kelengkapan pada Range Rover ini meletakkan harganya sebanyak RM1.268 juta sebelum pilihan dan cukai. RM2.488 juta ialah harga termasuk cukai tanpa insurans. Land Rover menawarkan secara standard jaminan selama lima tahun, lima tahun servis percuma, dan tiga tahun bantuan tepi jalan.

 
2. Mercedes-AMG G63
2020-01-19_Black_Mercedes_G63_AMG_(49774824142)

By Mircea Ioan - Mercedes G63 AMG, CC BY 2.0, Source

 

Habis cerita tentang SUV ikonik dari UK, kita beralih ke satu lagi SUV ikonik dari Jerman, Mercedes-Benz G-Class. Lebih tepat lagi, G-Class versi AMG, G63. Berjaya dilancarkan di Malaysia sekitar November 2018, ini merupakan model dari G-Class yang menerima casis baharu. Namun, model ini kekal dengan identiti asal sebuah G-Class dengan reka bentuk yang bersegi-segi.

 

Model berprestasi tinggi ini dilengkapi enjin 4 liter turbo berkembar V8 menghasilkan 585 kuasa kuda pada 6000 rpm. Torknya adalah sebanyak 850 Nm dari 2500 hingga 3500 rpm dan dipadankan dengan kotak gear sembilan kelajuan 'Speedshift TCT 9G'. Hasilnya, SUV pacuan semua roda ini memecut sepantas 4.5 saat dari 0-100 km/j hingga mencapai kelajuan maksimum 240 km/j.

DiscoverCars.com
 

Casis generasi G-Class ini masih kekal 'ladder-frame' tetapi menggunakan keluli berkekuatan tinggi. Begitu juga untuk badan kereta ini yang dihasilkan daripada beberapa tahap kekuatan keluli yang berbeza. Terdapat penggunaan aluminium pada bonet, 'fender', dan pintu. Meskipun G63 ini lebih besar berbanding generasi sebelumnya, kereta ini lebih ringan 170 kg.

 

Suspensi hadapan adalah daripada 'double wishbone' dan gandar kukuh bersama empat 'trailing arms' dan rod Panhard untuk bahagian belakang. Tambahan pula, G63 ini mempunyai peredam ('damper') adaptif dan brek berventilasi dalam setiap roda. Tidak banyak perkara perlu dibincangkan tentang reka bentuk G63 generasi ini kerana perubahan tersebut sangat sedikit sekali.

 

Malah, bunyi ketika menutup pintu masih dikekalkan seperti pada generasi awal G-Class. Perbezaan kecil berbanding generasi sebelum ini ialah lampu hadapan dan belakang yang lebih moden dan gril hadapan AMG yang menegak. Selain itu, bentuk cermin sisi yang lebih melengkung di bahagian penutup. Dalaman G63 generasi kali ini sememangnya berbeza walau dengan sekali pandang.

 

Sistem 'infotainment' dan maklumat bahagian pemandu terletak dalam satu skrin melintang panjang. Stereng 'flat-bottom', sistem kawalan skrin 'infotainment', dan kebanyakan butang adalah sama seperti model-model Mercedes sewaktu dengannya. Untuk standard Mercedes sekarang kereta ini agak terkebelakang.

DiscoverCars.com
 

Spesifikasi standard kereta ini ialah sistem masuk tanpa kunci, butang 'push-start', kawalan iklim automatik tiga zon, dan sistem audio Burmester. Kamera 360 darjah, sistem navigasi 'Command Online', dan bumbung suria juga standard pada G63.

 

Bantuan brek aktif, 'Distronic Adaptive Cruise Control', dan 'Active Lane Keep Assist' merupakan antara ciri keselamatan aktif SUV berkotak ini. Di samping itu, bantuan titik buta, dan sistem pemantauan tekanan tayar juga disediakan. Secara keseluruhan, harga G63 sekitar waktu pelancaran adalah sebanyak RM1,464,888 tanpa insurans.

 
3. Mercedes-Maybach GLS600 4Matic
Mercedes-Maybach_GLS600_IMG_5238

By Alexander Migl - Own work, CC BY-SA 4.0, Source

 

Dilancarkan di Malaysia pada Mac 2022, model ini berasaskan daripada Mercedes-Benz GLS. Dengan sentuhan Maybach, SUV ini menawarkan lebih banyak ciri-ciri mewah berbanding GLS biasa. Enjin kereta ini adalah daripada AMG, 4 liter turbo berkembar V8. Ia menghasilkan 557 kuasa kuda antara 6000 hingga 6500 rpm dan 730 Nm tork dari 2500 hingga 5000 rpm.

DiscoverCars.com
 

Terdapat sistem hibrid kecil EQ Boost 48-volt yang menghasilkan 22 kuasa kuda dan 250 Nm tork pada waktu tertentu sahaja. Enjin tersebut dipadankan dengan kotak gear automatik sembilan kelajuan '9G-Tronic' dan disalurkan ke semua roda '4Matic'. 0-100 km/j dalam masa 4.9 saat. GLS600 ini standard dengan suspensi jenis udara bersama sistem penstabil 'E-Active Body Control'.

 

Ia menggunakan kamera stereo bagi mengesan permukaan jalan lalu melaraskan suspensi untuk pemanduan yang lebih selesa. Satu perkara menarik tentang sistem suspensi ini ialah kereta ini boleh melantun ke atas dan ke bawah. Fungsi ini digunakan khas ketika melakukan aktiviti 'off-road' untuk mengelakkan kereta dari tersangkut.

 

Bahagian luaran SUV ini kaya dengan penggunaan warna dan kemasan krom untuk dibezakan dengan GLS biasa. Antaranya adalah pada gril hadapan bahagian bawah dan atas dengan bilah menegak, tiang B, dan rim 23 inci berbilang jejari. Plat hadapan bahagian bawah, sekeliling cermin, 'skirting' sisi, pemegang pintu, dan logo Maybach pada tiang C adalah daripada krom.

 

Tidak berhenti di situ, kemasan krom diteruskan di bahagian belakang. Antaranya bar melintang menghubungkan dua lampu belakang, dan bar melintang mengubungkan dua lampu pemantul bersama penghujung lantai but. Akhir sekali, bar melintang yang menghubungkan dua perumah ekzos turut dengan kemasan krom. Memasuki ke bahagian dalaman, anda disapa oleh anak tangga yang tersergam indah.

DiscoverCars.com
 

Berbanding dengan model GLS biasa yang mempunyai tujuh tempat duduk, model versi Maybach hanya ada empat. Ini supaya kerusi belakang dapat dilaraskan semaksimum yang mungkin untuk memberi keselesaan yang maksimum. Tempat duduk belakang semestinya kaya dengan pelbagai fungsi sesuai dengan kereta yang fokus kepada penumpang belakang berbanding pemandu.

 

Antaranya dua fungsi memori, pemanasan, penyejukan, dan urutan untuk setiap tempat duduk. Semua tempat duduk, papan pemuka, dan panel pintu dibalut dengan kulit berkualiti tinggi Nappa. Bahagian tengah di antara dua kerusi belakang mengandungi dua meja berlipat, dua corong udara dengan kawalan iklim, dan peti ais.

 

Tablet untuk mengawal ciri-ciri dalaman kereta, dan pengecas tanpa wayar juga terdapat pada konsol tengah. Akhir sekali, dua port USB untuk setiap penumpang belakang, ruang letak barang termasuk fungsi pemanasan dan penyejukan pada dua tempat letak botol. Terdapat juga skrin multimedia untuk setiap penumpang belakang pada belakang kerusi hadapan.

 

Untuk bahagian hadapan, reka bentuknya masih sama seperti GLS biasa. Kereta ini dilengkapi skrin bersaiz 12.3 inci yang terbahagi kepada skrin pemandu dan skrin sesentuh di bahagian tengah. Skrin sesentuh tersebut menggunakan sistem 'MBUX Interior Assistant'. Sistem masuk tanpa kunci, butang 'push-start', dan fungsi memori, pemanasan, penyejukan dan urutan untuk kerusi hadapan merupakan spesifikasi standard.

DiscoverCars.com
 

Juga standard ialah bumbung panoramik, pelindung matahari berkuasa bahagian cermin penumpang belakang, kamera 360 darjah, dan pintu tutup lembut. Ciri-ciri keselamatan aktif pula adalah seperti brek kecemasan automatik, 'cruise control' adaptif, 'Active Stop-and-Go-Assist', dan 'lane keep assist'. 'PRE-SAFE' untuk kurangkan bunyi impak kemalangan dan 'PRE-SAFE Impulse Side' untuk menambah perlindungan semasa pelanggaran sisi merupakan fungsi keselamatan lain.

 

Ini menghasilkan harga sebuah Maybach GLS600 sebanyak RM1,789,453 tanpa insurans.

 
4. Rolls-Royce Cullinan
Rolls-Royce_Cullinan_001

By Jengtingchen - Own work, CC BY-SA 4.0, Source

 

Akhir sekali, SUV pertama daripada Rolls-Royce, Cullinan. SUV yang berkebolehan untuk melalui 'off-road' ini dikuasakan oleh enjin yang sama pada model Phantom. 6.75 liter turbo berkembar V12 menghasilkan 563 kuasa kuda pada 5000 rpm dan 850 Nm tork seawal 1600 rpm. Kuasa disalurkan ke semua roda melalui kotak gear automatik lapan kelajuan.

DiscoverCars.com
 

Hasilnya, 0-100 km/j dalam masa 5.1 saat dan 250 km/j kelajuan maksimum. Sudah tentu suspensi kereta ini adalah jenis udara dengan fungsi pelarasan ketinggian. SUV Rolls-Royce yang dilancarkan di Malaysia pada Januari 2018 ini sememangnya mempunyai reka bentuk yang menonjol terutamanya di bahagian hadapan. Gril hadapan yang besar diperbuat daripada besi yang digilap bersama patung 'Spirit of Ecstasy' berdiri megah di atas bonet.

 

Tidak ketinggalan tradisi pintu belakang yang berengsel di bahagian belakang berbanding kebanyakan kereta lain di bahagian depan pintu. Terdapat sentuhan warna krom pada keliling cermin tepi, pemegang pintu, dan bar melintang di bahagian bawah pintu secara standard. Rim mempunyai saiz 22 inci dengan logo 'RR' di tengahnya yang kekal dalam posisi menegak walau dalam keadaan rim berputar.

 

Pada bahagian belakang, reka bentuknya agak ringkas namun eksklusif. Sebagai contoh, lampu belakang berbentuk segi empat tepat yang menegak dengan lubang di tengahnya mengandungi bar menegak. Sentuhan krom kelihatan di atas tempat letak nombor pendaftaran, bar melintang pada bampar, dan muncung ekzos.

 

Seperti sedia maklum, pelanggan boleh membuat pelbagai jenis pilihan tanpa had pada Cullinan ini. Tiada komprosi dari segi penggunaan bahan untuk bahagian dalaman SUV ini. Kereta akan direndahkan sebanyak 40 mm untuk memudahkan pemandu dan penumpang masuk. Mereka boleh sentuh pada sensor sesentuh pada pemegang pintu untuk dibuka secara automatik.

DiscoverCars.com
 

Setelah masuk ke dalam, mereka boleh tekan butang khas untuk tutup pintu secara automatik juga. Penggunaan bahan yang berkualiti tinggi dan reka bentuk yang tampak retro mewujudkan suasana mewah yang luar biasa. Kayu, besi, kulit merupakan bahan yang menghiasi kabin. Pelanggan boleh memilih untuk mempunyai konfigurasi empat atau lima tempat duduk.

 

Jika memilih empat tempat duduk, bahagian tengah akan menjadi konsol yang mengandungi butang dan tombol kawalan kabin, peti ais, dan gelas minuman bersama tempat letak khas. Di samping itu, pembahagi kaca yang terletak di antara ruang but dan ruang kabin untuk tingkatkan kesenyapan kabin juga disediakan.

 

Selain itu, dua skrin hiburan boleh didapatkan yang diletakkan pada belakang kerusi hadapan. Spesifikasi yang disediakan juga adalah seperti bumbung kaca panoramik, dan 18 pembesar suara yang tertulis 'Bespoke Audio'. Untuk pengguna gajet, kemudahan WiFi 'hotspot', pengecas tanpa wayar, dan lima port USB sekitar kabin sedia ditemani.

 

Kini beralih kepada ciri-ciri keselamatan aktif. Antaranya ialah paparan 'head-up', 'cruise control' aktif, amaran perlanggaran, amaran 'cross-traffic', dan amaran 'lane departure' dan 'lane change'. Seterusnya, fungsi 'Night Vision', 'Vision Assist', empat kamera luar, dan kamera 360 darjah juga penting untuk SUV besar ini.

DiscoverCars.com
 

Harga asas untuk Rolls-Royce Cullinan adalah sebanyak RM1.5 juta tanpa cukai. Namun, harga tersebut tidak berbaloi dengan ciri-ciri yang disediakan. Jika merujuk kepada spesifikasi Cullinan padat dengan ciri-ciri yang lebih relevan semasa hari pelancaran, ia berharga sekitar RM1.8 juta.

 

Komen di bawah SUV mana menjadi idaman anda. Adakah anda lebih minat kereta sedan atau 'wagon' berprestasi tinggi berbanding SUV?

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *