Proton Satria GTi (1998-2005): Satu-satunya ‘Hot Hatch’ Jenama Tempatan
Gambar di Atas daripada Akalias dari English Wikipedia - Dipindahkan daripada en.wikipedia ke Commons., Sumber
Satria GTi menjadi antara saksi pemuda era 90an mencintai kereta Proton. Tambahan pula, hanya negara Jepun dan benua Eropah yang mendominasi industri kereta sukan 'hatchback'. Bukan mudah untuk Proton bersaing dengan kereta berjenama Eropah yang pakar dalam penghasilan kereta 'hot hatch' sejak sekian lama. Pesaing yang terkenal pada masa itu adalah seperti Peugeot dengan model 206 GTi.
Secara asasnya, Satria GTi menggunakan resipi dari Eropah dan bernadikan enjin dari Jepun khas untuk pencinta kereta di Malaysia. Kereta ini bukan sahaja mendapat sambutan baik di Malaysia, malah kereta ini disukai oleh orang Barat. Lihat sahaja di ruangan komen video 'review' Satria GTi mengenai pengalaman serta nilai sentimental rakyat Malaysia dengan kereta ini.
Proton pernah menghasilkan 'hot hatch' Satria Neo Lotus Racing Edition mengandungi komponen-komponen seperti brek dari AP Racing dan sistem suspensi dari Bilstein. Namun, ia tidak mampu menandingi prestasi GTi, apatah lagi untuk bersaing dengan Golf GTI pada era tersebut. Kereta ini merupakan era kemuncak Proton pada ketika itu.
1. Enjin & Kotak Gear
'Hot hatch' ikonik ini menggunakan enjin 1.8 liter empat silinder (4G93P) daripada Mitsubishi. Ia menghasilkan sekitar 138 kuasa kuda pada 6000 rpm dan 164 Nm tork pada 6000 rpm. Enjin tersebut dipadankan dengan transmisi manual lima kelajuan sahaja.
2. Prestasi
Sehingga waktu artikel ini diterbitkan, Satria GTi kekal model Proton dengan pecutan 0-100 km/j terpantas walaupun selepas hampir 25 tahun. GTi mampu memecut sepantas 7.8 saat (Sumber: UltimateSPECS), iaitu hanya 0.1 saat lebih pantas daripada X50 varian paling mahal (Sumber: WapCar). Bukan itu sahaja, kelajuan maksimum kereta ini, iaitu 210 km/j adalah yang terpantas dalam keluarga Proton hingga ke hari ini (Sumber: UltimateSPECS).
3. Dalaman
Kerusi Recaro model Njoy, pedal dan tombol gear aluminium, dan panel meter berlatarbelakangkan warna putih dan tulisan berwarna biru dengan logo 'GTi'. Tidak dilupakan stereng daripada Momo dibalut kulit dan 'kick plates' dengan logo 'GTi'. Alas kaki mempunyai tulisan 'GTi' di bahagian tengah. Dasar batang gear dikelilingi dengan kemasan rivet. Selain itu, dalaman GTi ini sama seperti Satria biasa.
Ia memadai untuk menjadi sebuah kereta 'hatchback' sukan pada era tersebut. Untuk radio, GTi secara asalnya datang dengan dua din jenama Clarion. Terdapat sesetengah unit GTi hadir dengan lubang pada papan pemuka di hadapan penumpang hadapan untuk meletakkan barang. Ada unit yang menggantikan lubang tersebut dengan beg udara kedua. Terdapat juga unit yang tidak mempunyai lubang dan beg udara kedua.
Spesifikasi lain termasuk tingkap hadapan dan cermin sisi berkuasa elektrik.
5. Luaran
Untuk meningkatkan aerodinamik Satria GTi, pihak Lotus telah tampil dengan reka bentuk yang lebih eksklusif. Oleh itu, reka bentuk luaran GTi agak berbeza berbanding Satria biasa. Antara perbezaan ketara adalah seperti bampar hadapan dan gril hadapan dengan logo 'GTi'. Pada bahagian sisi, kelihatan tampalan kit badan lebar pada fender dengan rivet palsu.
Selain itu, rim enam jejari bersaiz 16 inci dengan 'centre cap' tertulis 'GTi' kelihatan ringkas dan menawan. Ketika dilancarkan, rim tersebut dibalut sama ada tayar berjenama Pirelli atau Michelin. Bukan itu sahaja, plastik hitam melintangi bahagian sisi kereta dengan logo 'GTi' dan '16v'. Untuk bahagian belakang, terdapat spoiler yang lebih besar dan bampar belakang yang unik berserta 'diffuser'.
Lampu belakang kereta ini gelap sedikit daripada Satria biasa. Seterusnya, ekzos berkembar ikonik berbentuk segi empat tepat. Tulisan 'proton', 'Satria GTi', '16v', dan lencana 'Handling by Lotus' bersama akronim Anthony Colin Bruce Chapman (ACBC) boleh dilihat. Hanya warna perak boleh didapati untuk Satria hebat ini. Reka bentuk Satria GTi masih kelihatan cantik dan tahan lama.
6. Mekanikal
Bahagian ini paling penting untuk menghasilkan sebuah GTi. Lotus turut memberi penekanan kepada aspek mekanikal kereta. Pertama, suspensi ditala semula, di mana untuk bahagian hadapan adalah jenis McPherson 'strut' dan 'multi-link' di belakang. Kedua, semua bar penstabil, 'bushing', dan peredam ditala oleh Lotus. Ketiga, brek lebih besar pada semua tayar.
Untuk ECU, model keluaran 1998 hingga pertengahan 2002 datang dengan jenama Mitsubishi (MMC). Unit selepas itu menggunakan Siemens VDO. Walaupun GTi versi Siemens mempunyai kelajuan maksimum lebih rendah (Sumber: YouTube, Careta TV, PROTON SATRIA GTI - RESTORASI KEGEMILANGAN!), tetapi ia didapati lebih mudah ditala untuk meningkatkan kuasa enjin.
7. Dimensi
• Panjang: 3995 mm.
• Jarak antara roda: 2440 mm.
• Tinggi: 1365 mm.
• Lebar: 1710 mm.
• Gandar hadapan: 1450 mm.
• Gandar belakang: 1460 mm.
• Kelegaan tanah: 150 mm.
8. Penjagaan
Kereta ini terpalit dengan kes kecurian. Jika semua komponen pada Satria GTi dikeluarkan dan dijual secara berasingan, jumlah jualan tersebut lebih tinggi daripada nilai pasaran kereta. Disebabkan enjin yang terdapat dalam Satria GTi berasal daripada Mitsubishi, enjin tersebut ternyata boleh diharap dan tahan lama.
Namun, Satria GTi tidak sempurna kerana terdapat beberapa isu yang perlu ambil maklum. Pertama, pengangkat hidraulik enjin akan menghasilkan bunyi ketukan kerana servis yang tidak teratur. Kos penukaran sebanyak RM1200. Pemilik yang kurang memandu GTi mereka perlu bersedia dengan pam klac yang haus dengan bayaran sebanyak RM150 untuk menukarnya.
Kesukaran menukar gear merupakan simptom kepada pam klac yang haus. Satu lagi masalah pada pam klac ialah ia boleh melentur terlalu banyak dengan simptom rasa pada pedal yang tidak konsisten. Kos untuk membaikinya adalah di bawah RM100. Model keluaran 1998 hingga Oktober 2001 boleh mengalami masalah karat pada bumbung, pintu, bonet hadapan, dan but belakang.
GTi keluaran selepas Oktober 2001 bebas daripada isu tersebut. Di samping itu, penggunaan minyak enjin jenis semi-sintetik atau mineral memadai untuk enjin 4G93P ini. Disarankan untuk menggunakan kelikatan 10W-40. Maklumat penyelenggaraan ini dinyatakan oleh Encik Suriya Sankaran dari 'Dream Street Restoration', pakar restorasi kereta-kereta Proton casis C99 kepada WapCar.
9. Harga
Terdapat beberapa sumber yang hanya memberi anggaran harga Satria GTi semasa baharu. Namun, terdapat satu 'posting' dari Facebook yang memaparkan gambar senarai harga kereta Proton pada tahun 2003. Dapat dilihat Satria GTi dijual pada harga RM73,343. Dikatakan harga tersebut hampir sama dengan Honda Civic semasa baharu.
Kebanyakkan model yang dijual mempunyai beberapa pengubahsuaian. Boleh jadi bahagian yang diubahsuai bertujuan untuk menyimpan komponen asli kereta tersebut, terutamanya rim dan ekzos.
Alangkah indah jika Proton boleh menghasilkan kembali sebuah kereta 'hot hatch' yang mampu bersaing dengan 'hot hatch' dari luar negara. Jika Toyota GR Yaris yang mahal tetap laku keras di Malaysia, tidak mustahil untuk berlaku perkara yang sama sekiranya Proton merealisasikannya.