Berita

2023 Perodua Axia di Malaysia: Lebih Canggih, Lebih Efisien

Gambar di Atas Daripada Bindydad123 - Hasil peribadi, CC BY-SA 4.0, Sumber

 

Perodua Axia, sebuah kereta segmen A yang sentiasa mendapat sambutan dalam kalangan rakyat Malaysia. Tatkala harga kereta di Malaysia antara yang tertinggi di dunia, maka amat penting untuk mempunyai alternatif kepada masalah tersebut. Sebuah kereta yang jimat minyak, mudah diselenggara, dan harga berpatutan merupakan elemen penting dalam segmen tersebut.

 

Kini, Perodua Axia baharu kekal dengan resipi yang lama, namun sarat dengan teknologi sesuai dengan peredaran zaman. Terdapat empat varian untuk Axia kali ini, iaitu G, X, SE, dan AV. Mari kita teroka kereta cilik ini.

 
1. Enjin & Kotak Gear

Semua model 2023 Perodua Axia masih menggunakan enjin 1.0 liter (1KR-VE) seperti Axia sebelumnya tanpa turbo. Ia menghasilkan 68 kuasa kuda pada 6000 rpm dan 91 Nm tork pada 4400 rpm. Namun, Axia kini menggunakan kotak gear jenis D-CVT yang telah terdapat pada Ativa dan Myvi versi facelift.

DiscoverCars.com
 
2. Prestasi

Buat masa ini tiada maklumat dari segi pecutan 0-100 km/j. Tetapi, penggunaan kotak gear D-CVT berbanding 4 kelajuan membuktikan prestasi yang lebih baik seperti pada model Myvi. Myvi facelift mempunyai pecutan 20% lebih baik untuk 0-100 km/j berbanding Myvi sebelum facelift.

 
3. Dalaman

Antara tarikan penting untuk Axia serba baharu ini adalah bahagian dalaman. Pertama, reka bentuk papan pemuka dan konsol tengah Axia baharu hampir serupa dengan Ativa (Sumber: paultan.org, 2023 Perodua Axia D74A – first look at all-new model!). Ini menampakkan kabin dalaman Axia jauh lebih mahal. Kedua, varian teratas iaitu AV didatangkan dengan paparan pelbagai maklumat jenis digital sebesar 7 inci (Sumber: Perodua Malaysia).

 

Selain itu, paparan audio juga lebih besar dengan saiz 9 inci. Untuk varian lain, paparan paparan pelbagai maklumat adalah jenis LCD dengan paparan audio tanpa skrin. Bukan itu sahaja, varian SE dan AV mempunyai butang pemanduan mod kuasa untuk prestasi lebih responsif. Tempat duduk untuk varian G hingga SE menggunakan fabrik, manakala varian AV adalah separuh kulit dengan 2 tona warna.

 

Tempat duduk jenis biasa adalah untuk varian G dan X, manakala varian SE dan AV adalah jenis 'semi-bucket'. Bukan biasa-biasa. Tempat duduk belakang bagi varian G dan X pula mempunyai tempat letak kepala tidak boleh laras. Namun, versi boleh laras terdapat pada varian selebihnya. Seterusnya, varian X dan ke atas datang dengan butang peghidup enjin. Akhir sekali, filem solar dan keselamatan hanya standard pada varian SE dan AV.

DiscoverCars.com
 
4. Keselamatan

Tarikan setersunya adalah aspek keselamatan. Varian tertinggi kini didatangkan dengan enam beg udara, iaitu dua di hadapan, dua di tepi, dan bakinya adalah jenis langsir.

 

Varian lain hanya datang dengan dua beg udara. Di samping itu, semua varian Axia mempunyai ABS dengan Pengagihan Tenaga Brek Elektronik (EBD) dan Bantuan Brek (BA). Kawalan Kestabilan Kereta (VSC), Bantuan Permulaan Bukit (HSA), dan Kawalan Cengkaman (TRC) juga standard pada semua varian. Turut standard untuk semua varian ialah fungsi ISOFIX.

 

Bahagian seterusnya ialah ciri-ciri keselamatan aktif, iaitu 'Perodua Smart Drive Assist' yang mengandungi empat jenis fungsi umum. Pertama ialah 'Advanced Safety Assist' (A.S.A.) yang hanya terdapat pada varian AV. A.S.A. mengandungi fungsi Amaran Pra-Perlanggaran, Pembrekan Pra-Perlanggaran, Kawalan Salah Operasi Pedal, dan Amaran Berlepas Hadapan ('Front Departure Alert'). Ciri kedua ialah 'Driving Assist' yang turut standard pada varian AV.

 

Ia mengandungi Amaran Pertukaran Lorong, Pencegahan Pertukaran Lorong, dan Pantauan Titik Buta. Seterusnya ialah 'Parking Assist'. Ia mengandungi Amaran Lalu Lintas Belakang dan Kamera Undur Belakang untuk varian AV. Sensor hadapan standard pada varian X dan ke atas. Manakala sensor belakang standard pada semua varian. Ciri keempat ialah 'Headlamp Assist' yang mengandungi 'Auto High Beam' (AHB) terdapat pada varian AV sahaja.

DiscoverCars.com
 

Untuk ujian pelanggaran dibuat oleh 'New Car Assessment Programme for Southeast Asian Countries (ASEAN NCAP)', Axia mencatatkan keputusan keseluruhan sebanyak empat daripada lima bintang.

 
5. Luaran

Bahagian luaran mengalami perubahan besar-besaran berbanding model sebelumnya. Kereta ini lebih rendah dan lebih besar daripada Axia sebelum ini. Axia varian G didatangkan dengan lampu hadapan jenis halogen dengan fungsi penutupan lampu secara automatik.

 

Selebihnya adalah jenis LED dengan fungsi pembukaan dan penutupan lampu automatik bersama lampu sapaan pulang ke rumah dan tinggalkan rumah. Ciri tambahan pada Axia versi SE dan AV ialah lampu siang (DRL) pada bawah bampar hadapan. Varian SE dan AV juga mempunyai sentuhan krom secara melintang pada gril hadapan serta 'skirting' bahagian hadapan dan tepi.

 

Secara keseluruhan, reka bentuk hadapan menggunakan bahasa reka bentuk Perodua terkini yang mirip dengan model Alza. Tiada komen tentang rekaan bahagian tepinya yang normal dan bersahaja. Menariknya, semua varian Axia kini mempunyai saiz 14 inci dengan reka bentuk rim yang sama.

DiscoverCars.com
 

Bahagian belakang ditampilkan dengan reka bentuk yang lebih kemas. Terdapat garisan tajam secara melintang pada bahagian tengah pintu but kemudian turun melalui sisi tepi ke penjuru bampar belakang. Ia kelihatan lebih matang berbanding Axia sebelum ini yang mempunyai lubang angin palsu pada penjuru bampar belakang. Oleh itu, Perodua menghasilkan lekukan pada bahagian tersebut untuk kelihatan lebih moden.

 

Semua varian Axia datang secara standard dengan cermin sisi berkuasa elektrik. Ciri lipatan cermin sisi secara elektrik beserta lampu isyarat belok jenis LED hadir pada varian SE dan AV sahaja (Sumber: Perodua Malaysia). Fungsi masuk tanpa kunci pada Axia kini hadir dari varian X dan ke atas. Walau bagaimanapun, Perodua telah naik taraf fungsi itu daripada jenis butang kepada jenis sensor (Sumber: paultan.org, 2023 Perodua Axia D74A – first look at all-new model!).

 

Jadi, pemilik hanya sentuh pada garisan melintang pada pemegang pintu untuk membuka pintu. Axia baharu mempunyai lima warna, iaitu 'Glittering Sliver', 'Granite Grey', 'Ivory White (Solid)', 'Lava Red', dan warna baharu 'Coral Blue'.

 
6. Mekanikal

Casis Axia kini turut menggunakan platform 'Daihatsu New Global Architecture (DNGA) (Sumber: paultan.org, 2023 Perodua Axia D74A – first look at all-new model!). Semua varian didatangkan dengan stereng berkuasa elektrik. Dari segi berat, kereta ini sememangnya ringan untuk sebuah kereta moden. Varian G seberat 865 kg, 870 kg untuk varian X, 885 kg untuk varian SE, dan varian AV seberat 890 kg.

DiscoverCars.com
 
7. Dimensi

Axia baharu sememangnya menyediakan ruang kabin lebih besar berbanding generasi sebelumnya. Berikut merupakan dimensi Axia baharu dengan Axia generasi lepas.

 

Axia 2023
• Panjang: 3760 mm.
• Jarak antara roda: 2525 mm.
• Tinggi: 1505 mm.
• Lebar: 1665 mm.
• Ruang but: 265 L.

 

DiscoverCars.com
Axia 2019
• Panjang: 3645 mm (3650 mm untuk Axia Style).
• Jarak antara roda: 2455 mm.
• Height: 1510 mm (1525 mm untuk Axia Style).
• Width: 1620 mm (1625 mm untuk Axia Style).
• Ruang but: 260 L.

Sumber: WapCar
 
8. Harga

Berikut merupakan harga Axia 2023 di Semenanjung Malaysia dan Timur Malaysia.

 

Semenanjung Malaysia
• Axia G: RM 38,600.
• Axia X: RM 40,000.
• Axia SE: RM 44,000.
• Axia AV: RM 49,500.

DiscoverCars.com
 

Timur Malaysia
• Axia G: RM 40,600.
• Axia X: RM 42,000.
• Axia SE: RM 46,000.
• Axia AV: RM 51,500.

 
9. Kecekapan

Berdasarkan Mod Kitaran Pemanduan Malaysia, Axia versi 2023 mencatatkan penggunaan minyak sebanyak 27.4 km/L. Manakala, kereta ini mencatatkan 23.2 km/L penggunaan bahan api untuk Kitaran Pemanduan Eropah. Sebagai perbandingan, Axia generasi sebelumnya menggunakan bahan api sebanyak 21.6 km/L.

 

Apa pendapat anda tentang Axia serba baharu ini? Adakah Axia kini lebih berbaloi dibeli berbanding abangnya, Myvi? Nyatakan pendapat anda pada komen di bawah.

DiscoverCars.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *